Monday, February 09, 2009

PERASMIAN PELANCARAN TABUNG TAPIS SG MERAB 8 FEBRUARI 2009

Alhamdulillhah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya pelancaran Tabung Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Islam Sg Merab (Tabung Tapis Sg Merab) pada 8 Februari 2009 berjalan dengan lancar. Warga Sg Merab patut berbanggga kerana pelancaran tabung bukan berlaku sekali tetapi berlaku dua kali oleh dua orang YB yang berlainan dari kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor.

Mengikut perancangan asal pelancaran ini akan dilakukan oleh Dato Dr Hassan Mohd Ali, Exco Agama Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam pada jam 3.00 petang. Walau bagaimanapun pada waktu petang sehari sebelum pelancaran kami menerima berita bahawa YB Dato' tidak dapat hadir jam 3.00 petang tetapi beliau meminta agar pelancaran ini diawalkan pada jam 9.30 pg di hari yang sama. Oleh kerana masa yang terlalu suntuk, AJK TAPIS berpendapat adalah sesuatu perkara yang mustahil untuk memaklumkan kepada masyarakat setempat berkenaan pertukaran jadual ini tambahan pula AJK agak kepenatan kerana mereka telah terlibat di dalam kerja gotong-royong membersihkan dewan orang ramai sejak jam 3.00 ptg lagi. Minta maaf Dato' patik pohon sembah derhaka kerana tidak dapat memenuhi permintaan Dato'.

Satu perjumpaan tergempar semua AJK terlibat telah diadakan pada waktu malamnya untuk membincangkan situsi terkini. TP 1 - Tn Hj Rosli telah menjelaskan senario yang berlaku dan keputusan telah dibuat bahawa Dato' Dr Hassan tetap akan datang jam 9.00 pg tetapi pertemuan diadakan secara tertutup iaitu hanya melibatkan semua AJK dan juga jemputan-jemputan khas sahaja. Program untuk jam 3.00 ptg berjalan seperti biasa tetapi dirasmikan oleh YB Dr Rosli, Ahli Parlimen DaerahHulu Langat atas kapasiti wakil YB Dato' Dr Hassan Ali.

Manusia hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Kami merancang satu pertemuan tetap Allah menetapkan dua pertemuan. Itulah balasan jika sesuatu kerja yang kita lakukan itu berniat baik dan yang lebih penting lagi ialah itu adalah kerja agama dan ia bersifat fardu kifayah.

Pertemuan dengan YB Dato' Hassan Ali diadakan secara tidak formal dan dihadiri hanya seramai 40 tetamu jemputan khas. Sebelum YB Dato' berucap, Pengerusi JKKK Bajuri Turman telah memberikan kata-kata aluan dan satu tayangan movie/slaid berkaitan dengan keadaan perkuburan Sg Merab telah dipaparkan. Bermula dari paparan ini Pengerusi JKKK telah menfokuskan kepada keperluan untuk menyelenggarakan tanah perluburan yang begitu daif dan menyedihkan. Matlamat penubuhan dana itu bertujuan untuk menyelenggara tanah perkuburan tersebut dan dijangka sebanyak RM160000.00 diperlukan untuk perbelanjaannya.
Selain itu beliau juga memohon bantuan daripada kerajaan negeri.

YB Dato' amat teruja untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai Exco Agama yang melihat permasalahan umat Islam secara umumnya. Beliau melihat negeri Selangor yang pesat membangun tetapi langsung tidak mengambil kira permasalahan agama seperti memperuntukkan kawasan untuk masjid/surau mahupun tanah perkuburan. Semuanya ini berpunca daripada sikap pemerintah lama yang langsung tidak mempedulikan kerja-kerja agama ini. Semua konflik yang berlaku ini juga dikaitkan dengan sikap yang tidak menjaga perkara asas iaitu SOLAT. Ibadat solat bagi golongan ini ibarat biskut, sekejap buat sekejap tak buat. Solat ikut senang, kalau menyusahkan tak solat pun tidak mengapa. Inilah yang menyebabkan jiwa menjadi kosong dan akhirnya pemerintahan hanya gah kepada pembangunan materialistik tetapi tidak kerohanian hingga tapak tanah perkuburan Islam langsung tidak masuk di dalam perancangan.

Satu kenyataan YB Dato' yang dikira agak pedih tetapi benar ialah bila beliau mengatakan beliau telah melihat banyak kubur masyarakat Kristian, Cina dan India yang dipelihara dengan rapi tetapi tidak bagi kubur orang-orang Islam yang dikategorikan sebagai "bangsat." Inilah realitinya jika jiwa manusia itu kosong, mahligai jutaan ringgit boleh dibina tetapi "mahligai akhir" amat sedih dan mengecewakan. Di dalam kubur semua orang adalah sama. Tak kira dia Dato', Profesor, Doktor, lelaki, perempuan, orang tua atau kanak-kanak semuanya akan menghuni di mahligai yang sama. YB Dato tidak berjanji untuk menghulurkan bantuan/peruntukkan tetapi beliau mencabar AJK supaya membuktikan dahulu kerja-kerja pengumpulan dilakukan secara bersunngguh-sungguh. Jika ini telah dilakukan beliau berjanji untuk mencuba mendapatkan dana dari MAIS ataupun PZS untuk menyalurkan bantuan secara "dollar to dollar." Bantuan ini bermaksud berapa banyak yang AJK dapat kutip, dan sebanyak itulah juga bantuan akan cuba diusahakan. Jika AJK dapat mengumpulkan sebanyak RM80000.00 maka bantuan yang cuba diperolehi juga adalah sebanyak RM80000.00. Syukran! Inilah yang hendak kita dengar dari mulut seorang pemimpin yang tidak suka menabur janji tetapi suka melontarkan cabaran. Cabaran YB Dato' amat memberkan motivasi kepada AJK TAPIS dan ia lebih bermakna.

Pada pertemuan ini juga Pengerusi JKKK telah memaklumkan kutipan yang diperolehi hingga setakat pagi pertemuan ini adalah sebanyak RM20000.00 +/-. Selepas selesai bersarapan YB Dato' berkenan untuk melawat tanah perkuburan yang dimaksudkan dan memang benar dengan apa yang ditunjukkan kepada beliau melalui paparan video. Kami bergambar bersama-sama Dato' di kawasan perkuburan dan insyallah lawatan ini akan dimasukkan ke dalam buletin kerajaan negeri Selangor. Terima kasih banyak-banyak YB Dato' Hassan Ali.

Pada sebelah petang, pelancaran rasmi berlangsung seperti yang dirancang. Kehadiran dianggarkan kira-kira 300 orang. Selain Dr Rosli tetamu jemputan lain yang hadir ialah Pegawai Daerah Sepang, Setiausaha Majlis Daerah Sepang dan Tuan Kadhi Sepang. Alhamdulillah majlis berlangsung dengan lancar. Selepas YB Dr Rosli menyempurnakan majlis pelancaran, tabung TAPIS digerakkan kepada semua hadiran. Hasil kutipan pada majlis itu sahaja berjumlah RM14000.00+/-. Alhamdulilah inilah janji Allah kepada orang yang berjuang untuk Fisabillah.

Terima kasih kepada semua AJK yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan majlis ini terutama Tn Hj Rosli Talib yang menjadi anchor kepada penubuhan tabung ini. Terima kasih juga kepada semua individu yang telah menyumbangkan tenaga dan wang ringgit bagi merealisasikan penubuhan tabung ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik anda semua.

Jazakallah Khairan Kathira.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

No comments:

Post a Comment

thank you for your comments