Monday, January 12, 2009

PENUBUHAN TABUNG TAPIS SG MERAB

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Kampung Sungai Merab terletak di mukim Dengkil dalam daerah Sepang di negeri Selangor Darul Ehsan. Kampung ini agak unik kerana dikelilingi pembangunan yang agak pesat terutama bila pusat pentadbiran Persekutuan Putrajaya diwujudkan bersebelahan kampung ini. Jarak kampung ini dari Putrajaya kira-kira 5 km ataupun 10 minit perjalanan menaiki kenderaan. Selain itu ia dikelilingi oleh institusi-instusi milik kerajaan seperti Institut Perguruan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Pertanian Malaysia, Kuala Lumpur Infrastructure University College selain kawasan perindustrian MIEL dan juga pusat-pusat latihan sepeti POS, INFRA, Mayban, Public Bank, RHB Bank dan banyak lagi. Perkembangan yang berlaku ini menyebabkan Kg Sungai Merab menjadi tumpuan orang ramai untuk menetap kerana kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan tempat kerja. Kawasan yang dulunya hijau kini telah digantikan dengan projek perumahan Antara kawasan perumahan baru yang terdapat di sini ialah:

1. Desa Melur 1 dan 2.
2. Desa Makmor
3. Desa Mekar
4. Desa Sentosa
5. Desa Damai
6. Taman Desa Utama

Pertambahan kawasan perumahan baru selain kampung asal yang sedia ada menyebabkan pertambahan kepada bilangan penduduk secara mendadak. Salah satu kesan akibat pertambahan penduduk ini adalah berkaitan dengan kawasan tanah perkuburan yang semakin mengecil akibat penggunaannya. Kawasan sedia ada dan sesuai untuk penggunaannya telah tidak mampu lagi untuk menampung jenazah yang ada. Yang tinggal cumalah kawasan berpaya dan juga kawasan lapang yang telah diratakan tetapi kandungan tanahya yang agak keras dan berbatu. Oleh itu bagi mengatasi maslah ini, satu inisiatif telah diambil oleh ahli kariah kampung ini. Tabung Penyelenggaraan Tanah Perkuburan Sungai Merab atau singkatannya Tabung TAPIS Sg Merab telah diwujudkan oleh ahli kariah Kg Sg Merab 43000 Kajang Selangor pada 9 Januari 2009. Tujuan tabung ini diwujudkan adalah untuk mendapat dana bagi kerja-kerja penyelenggaraan tanah perkuburan tersebut.

Inisiatif ini telah dimulakan oleh Saudara Samsuddin Saimen yang merupakan ahli JKKK Kg Sg Merab yang juga merupakan sukarelawan penggali kubur di kampung ini. Beliau melihat masalah tanah perkuburan yang agak luas tetapi kawasan yang hanya boleh digunakan untuk menguburkan jenazah telah penuh. Kawasan yang tinggal sama ada kawasan berpaya ataupun kawasan yang telah diratakan tetapi tidak boleh digali kerena ia telah ditambak dengan tanah bercampur batu serta keras. Keadaan sekarang ini memang agak kritikal bila tiada kawasan yang sesuai untuk dibuat kubur baru.

Atas kesedaran ini beliau telah mengusulkan agar kawasan berpaya dan berbatu ini ditambak dengan tanah baru supaya ia boleh digunakan untuk menanam jenazah. Satu mesyuarat bersama penduduk kampung telah diadakan pada 9 Januari 2009, jam 9.00 malam bertempat di kompleks JKKK Sg Merab. Seramai 70 orang ahli kariah yang mewakili setiap zon Sg Merab telah dijemput dan alhamdulillah 3/4 daripadanya telah hadir ke mesyuarat tersebut. Satu kertas cadangan yang telah disediakan oleh Tn Hj Rosli Talib dengan kerjasama En. Samsuddin dan Tn Hj Bajuri Turman telah dibentangkan. Hasil daripada mesyuarat tersebut, wakil penduduk kampung telah bersetuju untuk menubuhkan tabung TAPIS dan dianggarkan sejumlah RM160,000.00 (RM: Satu Ratus Enam Puluh Ribu) diperlukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan ini. Bagi merealisasikan tabung ini satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan. Jawatankuasa kerja ini dianggotai oleh semua wakil penduduk bagi mencerminkan kesepaduan kariah dan melangkaui garis sempadan fahaman politik dan kesukuan. Ini kerana isu tanah perkuburan ini merupakan isu yang telah lama diperkatakan tetapi malangnya usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah ini tidak dilakukan secara komprehensif dan juga tidak melibatkan semua pihak. JKKK yang dipengerusikan oleh Tn Hj Bajuri Turman yang baru sahaja dilantik sebagai Ketua Kampung mahukan semua penduduk bertanggungjawab dan dilibatkan bersama bagi mengatasi masalah ini. Ini kerana adalah menjadi tanggungjawab ahli kariah untuk mengkebumikan jenazah tanpa mengira SIAPA ORANG ITU! Urusan kematian adalah fardhu kifayah dan ia bukan orang lain dah buat aku tak payah. Satu hari nanti kita pasti akan menghuni ruang sempit dan berkongsi dinding bersama jasad-jasad yang mendahului kita. Oleh itu persediaan untuk menghadapi kematian mesti dilakukan sama ada secara bersendiri dengan amalan fardhu 'ain mahupun secara berjemaah seperti urusan pengkebumian jenazah. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita dikembalikan, dari tanah kita dijadikan dan ke dalam tanah juga kita disimpan.

Akhir kalam, saya menyeru kepada ahli kariah Sg Merab agar bersama-sama berganding bahu bagi merealisasikan penubuhan tabung TAPIS dan seterusnya dapat mengumpulkan dana yang diperlukan.

Setiausaha
TAPIS

No comments:

Post a Comment

thank you for your comments