Tuesday, January 13, 2009

KERTAS CADANGAN
TABUNG WAKAF PENAMBAKAN TANAH PERKUBURAN
KG SG MERAB
(TABUNG TAPIS SG MERAB)




1. PENDAHULUAN

Adalah diketahui secara umum bahawa penduduk kg Sg Merab pada masa ini sedang menghadapi masaalah besar berkaitan tanah perkuburan. Ini adalah kerana tanah perkuburan sedia ada telah hampir penuh manakala baki kawasan tanah perkuburan ini tidak dapat digunakan kerana kedudukannya yang sangat rendah dan mengandungi air bila digali.

Kertas cadangan ini disediakan untuk percambahan fikiran berkaitan pembentukan sebuah dana/tabung bertujuan untuk membiayai kerja-kerja penambakan dikawasan rendah tersebut.


2. TUJUAN

Penubuhan tabung wakaf ini adalah dengan SATU tujuan sahaja iaitu untuk membiayai kerja-kerja penambakan tanah dikawasan tanah perkuburan sedia ada sehingga kawasan tersebut boleh digunakan sebagai tanah perkuburan.


3. CADANGAN SUMBER KEWANGAN

3.1 Jualan unit wakaf

Adalah dicadangkan sumber kewangan utama tabung ini adalah secara sumbangan wakaf pada nilai/harga tertentu. Sasaran utama penyumbang wakaf ini adalah penduduk Kg Sg Merab dan sekitarnya. Nilai/Harga satu unit wakaf ini boleh dibuatkan berdasarkan kepada kos projek penambakan ini.

3.2 Sumbangan/Derma

J/K Tabung ini boleh mengenalpasti individu atau korporat yang boleh didekati/dihampiri untuk tujuan permohonan sumbangan/derma ini.

3.3 Peruntukan Kerajaan

J/K Tabung melalui JKKK memohon secara rasmi kepada agensi/jabatan kerajaan yang terbabit untuk membiayai sebahagian dari kos projek ini.


4. CADANGAN KAEDAH GERAK-KERJA (MODUS OPERANDI)

4.1 Penubuhan J/K Khas Tabung

Adalah dicadang sebuah J/K Khas diwujudkan untuk tabung wakaf ini. Tujuannya adalah untuk melibatkan seberapa banyak pihak yang berminat dan berkepentingan didalam usaha menjayakan tabung ini yang mana matlamat akhirnya adalah mengumpul dana yang mencukupi untuk membiaya projek ini.

J/K Khas ini bertanggungjawab memberikan laporan secara berkala kepada JKKK segala kegiatan berkaitan tabung ini.

Cadangan struktur J/K Tabung Wakaf

1. Pengerusi

Dicadangkan Pengerusi JKKK menjadi Pengerusi J/K ini

2. 2 orang Timbalan Pengerusi

Dicadang dilantik 2 orang Timbalan Pengerusi yang mempunyai tugas dan tanggungjawab khusus.

2.1 Timbalan Pengerusi 1 – Kewangan dan Publisiti

Bertanggungjawab secara langsung berkaitan kegiatan mencari dana dan menjual unit-unit wakaf. Merancang dan melaksanakan aktiviti/program berbentuk pemberitahuan berkaitan tabung ini.

Juga bertanggungjawab mendapatkan kelulusan derma dari pihak berwajib seperti Jabatan Agama dan Polis.

2.2 Timbalan Pengerusi 2 – Pengurusan Projek

Bertanggungjawab secara langsung berkaitan dengan semua kerja-kerja penambakan tanah ini. Antaranya adalah kemajuan projek, kualiti kerja dan pemantauan terhadap kerja-kerja kontraktor yang dilantik.

Juga bertanggungjawab untuk mendapat kelulusan jika perlu dari pihak-pihak tertentu seperti Pejabat Daerah, JKR dan lain-lain.

3. Setiausaha Kerja

Bertanggungjawab terhadap semua kerja-kerja pejabat seperti surat menyurat, laporan dan minit mesyuarat. Memastikan bahawa segala keperluan J/K ini yang telah dipersetujui dilaksanakan/disediakan.

4. Bendahari

Bertanggungjawab terhadap kewangan J/K ini. Beliau secara bersama dengan Pengerusi dan Setiausaha dicadang menjadi penandatangan akaun untuk tabung ini. Menyediakan laporan terperinci berkaitan kewangan pada setiap menyuarat.

5. 10 – 15 orang Jawatankuasa.

Dicadangkan supaya jawatankuasa ini dilantik dari mereka yang telah dikenalpasti dan mewakili zon/kawasan tertentu di Kg Sg Merab ini. Mereka ini MESTILAH bersetuju secara SUKARELA untuk menjadi AJK Tabung ini serta bersedia serta mahu bersama-sama menjayakan matlamat penubuhan tabung ini.

AJK Tabung ini juga boleh dilantik dari individu tertentu yang diketahui boleh memberi sumbangan yang besar kepada tabung ini melalui “network” beliau. Individu ini juga MESTILAH bersetuju secara SULARELA untuk membantu dan bersama-sama mahu menjayakan matlamat tabung ini.

4.2 Pembukaan Akaun Khas Tabung

Dicadangan sebuah akaun bank khas dibuka untuk tabung ini. Penandatangan akaun ini dicadangkan:-

1. Pengerusi
2. Bendahari
3. Setiausaha Kerja

4.3 Pemilihan/Pelantikan Kontraktor

Dicadangkan J/K melalui Timb. Pengerusi 2 (Pengurusan Projek) ini memanggil secara terbuka diperingkat awal tender/sebutharga dari beberapa kontraktor untuk kerja-kerja penambakan ini.

Selepas itu, J/K akan membuat penilaian dan boleh memanggil kontraktor-kontraktor yang dikenalpasti untuk rundingan terus. J/K perlu menyediakan draf perjanjian dengan kontraktor yang terbabit berdasarkan kepada persetujuan bersama. Akhir sekali J/K akan mencadang kepada J/K Induk kontraktor yang dipilih untuk disahkan oleh mesyuarat.

4.4 Kaedah Pemasaran (“Fund Raising Exercise”)

4.4.1 Majlis Pelancaran

Dicadangkan diadakan sebuah majlis perjumpaan khas khusus untuk seluruh penduduk Kg Sg Merab. Majlis ini bertujuan untuk membuat hebahan/makluman/pemberitahuan kepada seluruh penduduk kg berkenaan masaalah yang dihadapi dan tindakan yang sedang diambil oleh JKKK.

Didalam majlis ini juga akan dilancarkan Tabung Wakaf ini secara rasminya.

4.4.2 Lawatan rumah-ke-rumah

Tugasan ini akan dilakukan oleh AJK dari zon/kawasan yang terbabit. AJK ini akan melawat kesetiap rumah dizon mereka bertujuan untuk memberi penerangan berkaitan masaalah yang dihadapi dan seterusnya penubuhan tabung wakaf ini. AJK ini akan dibekalkan dengan brosur/borang tabung wakaf ini untuk diserahkan kepada tuan rumah.

4.4.3 Surat Rayuan Derma

Surat rayuan sumbangan/derma ini dihantar secara langsung oleh AJK yang terpilih kepada individu atau korporat yang telah dikenalpasti. Seterusnya AJK ini bertanggungjawab untuk membuat lawatan susulan (“follow-up”) jika perlu.

4.4.4 Tabung Derma Khas

1. Tabung Kutipan Jumaat di Masjid

Memohon kerjasama AJK Masjid untuk memaklumkan dan menyediakan sebuah tabung khas untuk tujuan ini.

2. Tabung Khas di premis-premis perniagaan

Memohon kebenaran pemilik untuk meletakkan sebuah tabung khas di premis perniagaan mereka untuk tujuan ini. Tabung ini akan dikutip secara mingguan oleh AJK yang bertanggungjawab.

5. JAWATANKUASA AUDIT

Dicadangkan perlantikan sebuah J/K Audit untuk memantau aliran kewangan Tabung ini. Tujuan penubuhannya adalah untuk mempastikan bahawa kewangan tabung ini diuruskan seperti tujuannya dan untuk menambah keyakinan para penderma.

J/K Audit ini dilantik dari golongan professional di kg ini dan bertanggungjawab untuk memantau segala kegiatan tabung ini.

J/K Audit ini boleh pada bila-bila masa meminta diserahkan kepada mereka apa-apa dokumen yang dihendaki untuk tujuan pengauditan.

Semua laporan kewangan oleh Bendahari mestilah disahkan oleh J/K ini.

6. PENUTUP

Perkara-perkara dan cadangan-cadangan diatas adalah bertujuan untuk kita sama-sama berwacana (berbincang) berkaitan perkara yang sangat kritikal untuk kepentingan penduduk Sg Merab ketika ini.

Tentunya kertas ini mempunyai kelemahan dan kekurangan yang memerlukan penambahbaikan dan penyesuaian.

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab ini bukan kecil. Komitmen yang bukan sedikit diperlukan jika mahu melihat usaha ini berjaya. Tohmahan dan kritikan pasti datang. Hanya mereka yang cekal dan istiqamah akan menjayakannnya Insyaallah.

Saya hanya sekadar memberikan sumbangan fikiran sebagai tanggungjawab fardhu kifayah.
Wassalam.

No comments:

Post a Comment

thank you for your comments