Bab Solat
Takrif solat:
Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu. Firman Allah swt:
"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45)
Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat
Syarat wajib solat:
1. Islam
2. Baligh
3. Berakal
Syarat sah solat:
1. Suci badan dari dua hadas.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.
(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ianya tidak menepati syarat sah solat)
Perkara-perkara yang membatalkan solat:
1. Keluar/kedatangan hadas.
2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
3. Makan/minum walau sedikit.
4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
10. Meninggalkan rukun solat.
Waktu-waktu Solat Fardhu:
Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:
1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari terbenam.
4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk barat.
5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.
Perbuatan sunat sebelum solat:
1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
2. Iqamah.
3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.
Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:
1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
5. Ketika masuk matahari.
Rukun solat ada 13:
1. Niat.
2. Takbiratul-Ihram (Allahu-Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud/Tahiyyat Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.
Huraian rukun solat:
1. Niat: niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu tidaklah dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratul-ihram iaitu tatkala ia mengata Allahu-Akbar. Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka seseorang itu akan bertakbiratul-ihram dan lalu hatinya berkata:
Sahaja aku solat Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah Taala
Nota: tidak semua perkara dalam niat seperti contoh di atas adalah perkara-perkara yang dituntut dalam perbuatan niat. Perkara yang dituntut dalam niat ada 3, iaitu Qasad ("Sahaja aku solat"), Ta'arrudh (Fardhu) dan Ta'yin (Zuhur, sebagainya).
Oleh itu, niat "Sahaja aku solat Fardhu Zuhur" sudah mencukupi syarat sebagai niat.
Niat "Empat Rakaat", "Tunai" atau "Kerana Allah Ta'ala" adalah tidak disyaratkan, bahkan hanya sunat hukumnya. Namun begitu adalah lebih baik untuk menghadirkan kesemuanya di dalam hati.
Adapun niat menjadi imam ("Imaman") atau makmum ("Makmuman/Makmumatan") ketika takbiratul-ihram hanyalah disyaratkan pada sembahyang Jumaat sahaja, tetapi pada sembahyang lain tidaklah disyaratkan dan hanya sunat hukumnya.
Jika tidak diniatkan menjadi imam atau makmum ketika takbiratul-ihram untuk sembahyang Jumaat, maka tidaklah sah sembahyang Jumaat seseorang itu.
Jika seseorang makmum tidak berniat menjadi makmum ketika takbiratul-ihram dalam sembahyang (selain daripada fardhu Jumaat), dia masih lagi dibolehkan berniat mengikut imam pada mana-mana rukun sembahyang, contohnya ketika rukuk. Namun begitu, adalah makruh hukumnya jika seseorang itu berterusan dengan sengaja mengikuti imam dengan tanpa berniat menjadi makmum.
Imam yang tidak berniat menjadi imam ketika takbiratul-ihram, atau ketika mana-mana rukun yang lain, tidaklah terbatal sembahyangnya ataupun sembahyang makmumnya.
Bagi sembahyang Qasar (memendekkan solat fardhu yang empat rakaat menjadi dua rakaat), perkara-perkara yang manjadi tuntutan ketika takbiratul-ihram selain Qasad, Ta'arrudh dan Ta'yin ialah niat Qasar. Maka bagi seseorang yang hendak solat Qasar perlulah berniat sekurang-kurangnya: "Sahaja aku sembahyang Fardhu Zuhur Qasar."
Bagi sembahyang sunat yang mempunyai waktu dan sembahyang sunat yang mempunyai sebab, maka wajiblah disertakan di dalam niat hanya dua perkara, iaitu Qasad ("Sahaja aku sembahyang") dan Ta'yin (sunat Hari Raya Adha, sunat gerhana bulan, dan sebagainya).
Dituntut juga dalam perkara niat ini ialah menentukan qabliyah (sebelum) dan ba'diyah (selepas) dalam sembahyang sunat Rawatib. Ini tertentu kepada sembahyang sunat Zuhur, Maghrib dan Isya' sahaja, seperti dinyatakan dalam niat: "Sahaja aku solat Sunat Zuhur qabliyah/ba'diyah" atau "Sahaja aku solat Sunat Sebelum/Selepas Zuhur."
Adapun sembahyang sunat Subuh dan Asar tidaklah disyaratkan niat qabliyah, kerana kedua-dua sembahyang tersebut hanya ada qabliyah sahaja dan tiada ba'diyah (iaitu tidak ada solat sunat Rawatib selepas Subuh dan Asar).
Bagi sembahyang sunat mutlak pula wajib disertakan di dalam niat semasa takbiratul-ihram satu perkara sahaja iaitu Qasad. Umpamanya seseorang hanya perlu berniat: "Sahaja aku sembahyang".
2. Takbiratul-Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat. Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain.
Sebutan kalimah Allahu-Akbar itu diwajarkan agar tidak melebihi daripada empat belas harakat (tujuh alif), dan pergerakan tangannya tidak melebihi tiga kali pergerakan, kerana semua ini akan menjejaskan kesahihan dan kesempurnaan solat.
Nota: sebutan Allahu-Akbar yang teramat panjang ketika niat, dan pergerakan tangan yang berkali-kali, adalah disebabkan oleh was-was atau berterusan tidak kepastian sama ada apa yang dilakukanya itu telah sempurna atau belum. Was-was adalah berpunca dari bisikan syaitan, dan seseorang yang ditimpa was-was ini perlulah banyak berzikir, sebaiknya zikir "Laa-Ilaha-Illallah."
3. Berdiri bagi orang yang berkuasa. Sekiranya seseorang itu berdiri tetapi condong ke hadapan, ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka hukum solat itu tidak sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka bolehlah dilakukan solat secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara mana yang termampu. Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara duduk, namun tidak digalakkan.
4. Membaca al-Fatihah: pada tiap-tiap rakaat dengan memelihara segala makhraj dan tajwid fatihah. Mazhab Syafi'e mewajibkan rukun al-Fatihah untuk makmum dalam solat berjemaah.
5. Rukuk, berserta tama'ninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah membongkokkan belakangnya sampai dua tangan di atas dua kepala lutut, disertai dengan tama'ninah iaitu berhenti sebentar sekadar lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota berat kemudian berhenti. Doa tasbih ketika rukuk ialah:
"Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya."
6. Iktidal: Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk, berserta tama'ninah. Doa tasbih ketika iktidal ialah:
"Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya."
Kemudian disambung pula dengan bacaan:
"Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji."
7. Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud, dan dahi itu mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut kerana luka dan sebagainya, maka tidaklah wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan sengaja tanpa sebab adalah tidak sah solatnya. Anggota sujud ada 7:
1. Dahi
2. Dua tapak tangan
3. Dua lutut
4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:
"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-Nya"
8. Duduk di antara dua sujud berserta tama'ninah. Mengangkat kepala dan badan untuk duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mengangkat dari sujud kerana tujuan lain, umpamanya mengelakkan daripada binatang, maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk antara dua sujud merupakan rukun pendek maka tidak wajar dilama-lamakan. Doa tasbih ketika sujud ialah:
"Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku."
9. Tahiyyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyyat akhir juga hendaklah dipelihara segala bacaan di dalamnya. Bacaan tahiyyat akhir adalah seperti berikut:
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan Kepada junjungan mulia Muhammad saw dan ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, sebagaimana rahmat dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan ahli keluarga Muhammad seperti mana berkatMu kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau yang amat terpuji lagi amat mulia."
nota: ungkapan "sayyidina" di dalam contoh di atas hanyalah sunat hukumnya dan tidak mengapa jika ditinggalkan.
10. Duduk ketika tahiyyat akhir.
11. Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli 'ala Muhammad."
12. Salam pertama: Sekurang-kurang salam ialah "Assalamu'alaikum" bermaksud "salam sejahtera ke atas kamu."
13. Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu dan mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal ketertiban rukun-rukunnya dikira tidak sah.
Perkara-perkara sunat semasa solat ada dua:
1. Sunat Hai'ah
2. Sunat Ab'adh
Sunat Hai'ah ada 15 perkara:
1. Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram, ketika rukuk, ketika iktidal dan ketika bangun pada rakaat kedua. (nota: bangun dari rakaat pertama dan ketiga tidak diperlukan mengangkat tangan)
2. Meletakkan perut tangan kanan di atas tangan kiri dan memegangnya dan meletakkannya di bawah dada atau di atas pusat.
3. Membaca doa tawujud/iftitah. Doa iftitah ialah:
"Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam."
4. Membaca A'uzubillah
5. Membaca Al-fatihah dan surah dengan suara yang kuat (jahar) pada masa-masa yang ditentukan.
6. Membaca amin selepas fatihah
7. Membaca surah al-Quran di rakaat pertama dan kedua selepas bacaan al-Fatihah
8. Membaca tasbih ketika rukuk
9. Membaca tasbih ketika rukuk
10. Membaca tasbih ketika sujud
11. Membaca tasbih ketika bangkit dari rukuk
12. Meletakkan kedua tangan di atas peha dengan melepaskan jari kesemuanya
13. Duduk iftirasy pada semua duduk iaitu duduk di atas buku lali kaki kiri
14. Duduk Tawarruk iaitu duduk tahiyat akhir
15. Salam yang kedua
Sunat Ab'adh ada 7 perkara:
1. Tahiyyat awal. Doa tahiyyat awal ialah:
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah."
2. Selawat didalam Tahiyat awal
3. Duduk Tahiyat
4. Doa qunut waktu subuh dan pada solat witir. Doa qunut ialah:
"Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan. Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkan aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Maka hanya untuk Engkau tetapkan. Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan."
5. Selawat di dalam qunut
6. Berdiri semasa qunut
7. Membaca selawat ke atas keluarga Nabi pada Tahiyyat akhir.
Sekiranya tertinggal sunat Ab'adh, maka disunatkan ia sujud sahwi; manakala tertinggal sunat hai'ah tidak diperlukan sujud sahwi.
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Sabda Nabi SAW:
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat mua'akad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu
Syarat-syarat sah solat berjemaah:
1. Berniat mengikut/menjadi imam (untuk solat Jumaat sahaja, dan tidak diwajibkan bagi solat-solat yang lain).
2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.
3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain.
4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.
5. Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.
6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit. Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.
7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur, Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.
8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.
Semasa berniat, seseorang itu disunatkan menambah perkataan makmuman (makmum lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau imamatan (imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan. Solat seseorang itu tetap sah walaupun tidak berniat menjadi imam/makmum, melainkan ketika solat Jumaat.
Antara syarat untuk menjadi imam:
* Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.
* Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain.
* Imam itu sudah mumaiyiz.
Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Imam ialah yang menanggung pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala untuk dirinya dan untuk mereka (makmum) dan jika rosak pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya sendiri, dan bukannya atas mereka (makmum)."
Dalam solat berjemaah bersama satu makmum, maka makmum itu kedudukannya di sisi kanan imam, asalkan tidak terkehadapan ataupun sebaris dengan imam.
Sekiranya hanya ada satu makmum dalam solat berjemaah, dan makmum pertama sedang berdiri di tepi kanan imam, lalu disertai pula seorang lagi makmum, maka imam disyaratkan maju ke hadapan atau makmum yang pertama berundur belakang (tidak melebihi tiga langkah) ke saf bersama makmum kedua.
Masbuq ialah apabila makmum ketinggalan dalam solat berjemaah.
Contoh: apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu dengan tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah.
Sabda Rasulullah saw: "Apabila seseorang diantara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barangsiapa yang mendapati rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat."(H.R. Abu Daud).
Dari hadis di atas, maka difahamilah bahawa orang yang mendapatkan rukuk dianggap telah mendapatkan satu rakaat, biarpun tanpa sempat menyempurnakan rukun fatihahnya.
Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah mendapat rakaat ("muwafiq"). Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk, atau makmum memasuki solat sesudah imam rukuk (iaitu semasa sujud, atau duduk tahiyyat dan sebagainya) maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu ("masbuq").
Sekiranya makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua.
Setelah solat berakhir dan imam memberi salam, maka makmum itu perlulah bangun dan menyelesaikan solatnya dengan menambah rakaat yang tertinggal.
Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, maka makmum ditegah duduk kerana duduk itu mengikut imam, dan imam telahpun selesai solatnya. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyang itu.
Dalam solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu dan hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi sekiranya makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira solat Zuhur dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.
Istikhlaf bererti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya (lalu menjadi imam) bagi menyempurnakan sembahyang mereka, disebabkan keuzuran imam pertama itu.
Jika imam keluar daripada sembahyangnya disebabkan berhadas, atau biarpun dengan tiada sebab, adalah diharuskan bagi salah seorang makmum menggantikannya.
Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu adalah pengganti (khalifah/mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain. Jika imam itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan fatihah (ummiyan), atau orang bisu, atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah sembahyang makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam.
Disyaratkan juga imam itu diganti oleh makmum yang berada di saf pertama betul-betul di belakang imam. (nota sampingan: makmum saf pertama di belakang imam adalah juga bertanggungjawab untuk menegur imam di kala kesilapan bacaan atau perbuatan solat, dengan isyarat bacaan "Subhanallah.")
Imam yang keluar itu hendaklah keluar dengan tertib, sekurang-kurangnya beralih ke kirinya jika tiada luang kosong untuk ia mundur. Kemudian makmum yang mengganti imam itu hendaklah pula maju ke hadapan dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah. Tempatnya yang kosong di saf hendaklah pula diisi oleh makmum lain, sama ada di sebelah atau di belakang, juga dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah.
Istikhlaf hendaklah dilakukan dengan serta-merta. Jika imam keluar daripada jemaah sedangkan makmum telahpun lanjut melakukan satu rukun, maka ditegah penggantiannya selepas itu. Juga ditegah penggantiannya jika makmum tersebut diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi'li (perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). Sekiranya didapati tiada sesiapa yang maju menggantikan imam, maka makmum diperbolehkan mufaraqah (berpisah) dari berjemaah dan meneruskan solat bersendirian.
Tidak disyaratkan ke atas makmum dalam istikhlaf untuk berniat lagi untuk menjadi makmum, kerana mustakhlif (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang awal.
Cara Istikhlaf Dalam Sembahyang
Apabila seorang mustakhlif menggantikan imam dalam sembahyang yang sama atau bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut di mana-mana rakaat pun kerana mustakhlif itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa kepada percanggahan.
Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar sembahyang (mustakhlif bukan daripada kalangan makmum, dan terus masuk menjadi imam), maka menurut pendapat Imam Nawawi dan jumhur ulama adalah diharuskan istikhlaf dengan syarat mustakhlif tersebut menggantikan imam pada rakaat pertama, atau rakaat ketiga (pada sembahyang yang empat rakaat) kerana tidak akan bercanggah dengan tertib makmum yang mengikutinya.
Jika berlaku percanggahan dalam tertib, maka tidaklah diharuskan istikhlaf. Contohnya ialah apabila seorang yang di luar sembahyang mengganti imam pada rakaat kedua atau rakaat terakhir, dan dia (pengganti) itu akan bangun berdiri bagi rakaatnya yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyyat awal (atau tahiyyat akhir) di rakaat mereka.
Jika makmum yang masbuq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, jika makmum yang masbuq pada rakaat kedua dalam sembahyang subuh, kemudian imam itu berhadas lalu diganti oleh makmum yang masbuq itu, maka makmum yang menggantikan itu hendaklah menjaga tertib imam pertama dengan menyambung perbuatan sebagaimana yang perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam sembahyang subuh iaitu berqunut, duduk dan bertasyahud biarpun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat. Selepas itu baharulah mustakhlif yang masbuq itu bangkit semula (tanpa salam) untuk menggenapkan solat dua rakaatnya, lalu berqunut lagi pada rakaat keduanya itu bagi dirinya sendiri sahaja (doa qunut bersendirian dan bukan qunut berjemaah).
Makmum-makmum masbuq yang bangkit semula untuk menyempurnakan sembahyang mereka setelah sempurna solat berjemaah adalah diperbolehlah kepada salah seorang daripada mereka yang masbuq itu untuk maju ke hadapan menjadi imam dan makmum masbuq yang lain itu boleh mengikutinya. Istikhlaf sebegini adalah diharuskan kecuali dalam sembahyang Jumaat kerana tidak harus mendirikan lagi sembahyang Jumaat selepas selesai dikerjakannya.
Istikhlaf Dalam Sembahyang Jumaat
Apabila imam keluar selepas membaca dua khutbah dan sebelum mengangkat takbiratul ihram bagi sembahyang Jumaat, adalah diharuskan menggantikannya jika mustakhlif itu juga turut menghadiri khutbah. Jika ia tidak menghadiri khutbah maka dia tidak diharuskan mengganti imam itu.
Jika imam keluar daripada sembahyang selepas mengangkat takbiratul ihram pada rakaat pertama sembahyang Jumaat dan sebelum rukuk di rakaat kedua, adalah harus dia diganti oleh mustakhlif yang bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah itu, kerana mustakhlif itu dikira tergolong dalam ahli Jumaat. Jika ia tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada sembahyang, maka tidak diharuskan ia mengimamkan sembahyang itu kerana dia tidak tergolong dalam ahli Jumaat.
Manakala jika imam itu keluar selepas rukuk dalam rakaat kedua sembahyang Jumaat, imam tidak harus diganti oleh mustakhlif yang tidak bersama imam sebelum dia keluar daripada jemaah. Akan tetapi jika mustakhlif itu bersama imam sebelum imam keluar daripada jemaah tetapi dia tidak bersama imam sebelum rukuk pada rakaat kedua (mustakhlif masbuq), maka difardhukan ke atas mustakhlif itu sembahyang Zuhur.
Makmum yang bersembahyang Jumaat diharuskan pula mengikuti mustakhlif yang difardhukan ke atasnya sembahyang Zuhur itu. Akan tetapi hendaklah mustakhlif itu menjaga tertib imam yang awal. Manakala makmum yang mengikutinya ada dua pilihan, antara memberi salam dengan niat mufaraqah atau makmum menunggu mustakhlif dan memberi salam bersamanya. Cara ini adalah yang lebih afdhal dilakukan.
Sahwi bermaksud lupa sesuatu. Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di dalam solat. Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah selesai bacaan Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.
Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:
Ertinya: "Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa."
Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.
1. Sujud Sahwi Kerana Kelebihan
Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.
2. Sujud Sahwi Kerana Kekurangan
Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab'adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.
c. Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu
Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat. Keraguan ada dua jenis:
1. Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau lebih 50% pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat ketiga dan bukan rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil sikap kepada yang lebih ia yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi setelah salam.
2. Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong pada salah satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus mengambil sikap kepada hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian menutupi kekurangan tersebut, lalu sujud sahwi sebelum salam.
Hal-hal Penting Berkenaan Dengan Sujud Sahwi
1.Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan ia teringat ketika belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia wajib segera kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan solat dari situ. Sekiranya dia teringat dan sedang pula berada pada rukun yang tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap terganti dan ia perlulah meneruskan solat seolah-olahnya di rakaat yang sebelum itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau sebelumnya.
2.Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka perlu pula melakukan salam sekali lagi.
3.Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab'adh secara sengaja, maka batallah solatnya.
- Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat ab'adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud sahwi.
- Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu sujud sahwi selepas salam.
- Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat ab'adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.
4.Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak begitu lama.
5. Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.
Sujud Sajadah/Tilawah
Tilawah ertinya bacaan, dan Sujud Sajadah atau sujud Tilawah itu ialah perbuatan sujud apabila seseorang itu bertemu ayat sajadah dalam bacaan al-Qur'an sama ada di dalam solat ataupun di luar solat.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, "Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka." (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Hukum sujud sajadah adalah sunat mu'akad, atau sunat yang amat digalakkan.
Dari Umar r.a.: Pada suatu hari Jumaat, dia (Rasulullah) membaca surah al-Nahl di atas mimbar, maka ketika sampai pada ayat sajadah, dia lalu turun dan sujud. Dan para hadirin juga turut melakukan sujud. Pada hari Jumaat berikutnya, dibacanya surah berkenaan, lalu apabila sampai pada ayat sajdah dia berkata: "Wahai manusia, sebenarnya kita tidak diperintahkan (diwajibkan) sujud tilawah. Tetapi barangsiapa bersujud, dia telah melakukan yang benar. Dan barangsiapa yang tidak melakukannya, maka dia tidak mendapat dosa." (HR Bukhari)
Ayat-ayat sujud sajadah ialah:
1. Surah 7 (Al-A'Raaf) Ayat 206
2. Surah 13 (Ar-Ra'd) Ayat 15
3. Surah 16 (Al-Nahl) Ayat 50
4. Surah 17 (Al-Isra') Ayat 109
5. Surah 19 (Maryam) Ayat 58
6. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 18
7. Surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77
8. Surah 25 (Al-Furqaan) Ayat 60
9. Surah 27 (An Naml) Ayat 26
10. Surah 32 (As-Sajdah) Ayat 15
11. Surah 38 (Shaad) Ayat 24
12. Surah 41 (Fushshilat) Ayat 38
13. Surah 53 (An-Najm) Ayat 62
14. Surah 84 (Al-Insyiqaq) Ayat 21
15. Surah 96 (Al-'Alaq) Ayat 19
Nota: Perlu dinyatakan bahawa bacaan Surah 38 (Shaad) Ayat 24 menurut Syafi'iyah dan Hanbaliyah tidak termasuk ayat sajadah, tapi ayat yang disunatkan untuk sujud syukur (keterangan sujud syukur akan menyusul selanjutnya). Bacaan surah 22 (Al-Hajj) Ayat 77 pula menurut madzhab Syafi'iyah dan Hanbaliyah dimasukkan sebagai ayat sajadah.
Untuk mengenali ayat-ayat sajadah itu di dalam al-Qur'an, pada kebiasaannya pada ayat-ayat itu ada ditandakan dengan garis atau di penghujung ayat itu ditandakan simbol dengan tertulis perkataan sajadah.
Bacaan doa yang sunat dibaca ketika sujud ialah:
Ertinya: "Aku bersujud dengan wajahku kepada Dzat yang telah merupakan dan menciptakannya, dan menciptakan pendengaran dan penglihatannya dengan kekuatan-Nya. Maha memberkati Allah, sebaik-baik Pencipta."
Cara melakukan sujud sajadah di dalam solat ialah terus bersujud (tanpa niat, dan tanpa mengangkat tangan) sebaik sahaja selepas membaca ayat sajadah, dan membaca doa sujud sajadah di dalam sujud, lalu kembali berdiri dan meneruskan bacaan selanjutnya. Sekiranya bacaan surah itu telahpun tamat, maka teruslah rukuk selepas berdiri sebentar apabila bangun dari sujud.
Adalah sunat bertakbir "Allah-Akbar" sebelum turun dari qiam untuk melakukan sujud sajadah. Disunatkan juga agar bertakbir apabila naik dari sujud. Adalah tidak perlu mengangkat tangan ketika naik dari sujud.
Di dalam solat berjemaah, makmum wajib mengikuti imam sama ada imam itu melakukan sujud sajadah ataupun tidak. Bercanggah dari mengikuti imam akan menyebabkan solat makmum itu batal. Akan tetapi, adalah sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud tilawah selepas selesai salam dengan syarat jarak di antara sujud dan salam itu tidak lama.
Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang dibaca dengan suara perlahan, umpamanya solat Zuhur, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum.
Rukun sujud sajadah di luar solat ialah:
1. Niat - iaitu "Sahaja aku sujud sajadah kerana Allah Ta'ala"
2. Takbiratul-ihram
3. Sujud
4. Salam.
Sujud sajadah di luar solat adalah disunatkan kepada pembaca dan juga pendengar bacaan ayat sajadah, dan sujud si pendengar itu tidak tergantung sama ada pembaca (qari) itu turut sujud atau tidak.
Syarat sah sujud sajadah di luar solat adalah sama seperti syarat solat (suci dari hadas besar dan kecil, mengadap kiblat, menutup aurat, dan sebagainya), dan tidak berjangka waktu yang lama antara bacaan ayat sajadah dan perbuatan sujud.
Sekiranya seseorang itu mendengar bacaan ayat sajadah dan tidak berupaya untuk sujud sajadah (umpamanya sedang memandu), maka bolehlah ditangguhkan sujud sajadah itu hingga ketika dia boleh, asalkan tidak terlampau lama masa yang terluput di antaranya.
Tidak perlu berwuduk untuk sujud sajadah ketika di luar solat, namun berwuduk itu adalah lebih afdal.
Disunatkan bacaan takbir "Allahu-Akbar" (selepas daripada Takbiratul-ihram) ketika hendak sujud, dan disunatkan juga bertakbir apabila bangun dari sujud sebelum salam.
Adalah tidak perlu untuk seseorang itu bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) apabila hendak melakukan sujud sajadah di luar solat. Namun begitu, apabila seseorang itu sedang berdiri, maka perlulah dia bertakbiratul-ihram di kala qiam, lalu sujud, duduk, dan salam.
Nota sampingan:
Sujud Syukur
Sujud Syukur adalah perbuatan sujud ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah, atau terhindar daripada malapetaka.
Hukum sujud syukur adalah sunat, dan hanya dilakukan di luar solat. Sekiranya seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat, maka batallah solatnya.
Cara sujud syukur dan syarat sujud syukur adalah sama seperti sujud sajadah di luar solat.
Di samping melaksanakan sujud syukur, disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur.
Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan solat fardhu yang empat rakaat (Zuhur, Asar dan Isya') menjadi dua rakaat sahaja. Solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan, dan perlu ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.
Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat qasar, harus juga solat jama'. Maksud solat jama' ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zuhur dengan Asar, atau Maghrib dengan Isya' dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Solat Subuh tidak boleh dijamakkan.
Syarat-syarat solat qasar:
1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.
2. Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.
3. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isya' sahaja, dan dilaksanakan secara tunai. Tidak dibolehkan qasar solat qada' bagi solat yang ditinggalkan semasa musafir apabila telah tiba di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di masih dalam musafir.
4. Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
5. Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam (sempurna ).
6. Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
7. Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
8. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
Solat Jama' terbahagi kepada dua:
1. Jama' Taqdim
2. Jama' Takkhir.
Solat Jama' Taqdim:
Jama' Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isya' pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini Jama' Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.
Syarat-syarat Jama' Taqdim:
1. Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya mendirikan dahulu solat Zuhur atau Maghrib yang dikira solat yang pertama, kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar atau Isya' yang dikira solat kedua.
2. Hendaklah diniatkan jama' pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.
3. Hendaklah berturut-turut (mu'alat) antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
4. Hendaklah berkekalan musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratul-ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya apabila ia jadi mukim di antara dua solat itu.
Solat Jama' Takkhir:
Jama' Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar, atau solat Maghrib dan solat Isya' dilakukan dalam waktu Isya'. Dinamakan solat ini Jama' Takkhir kerana solat pertama yang telah tamat waktunya itu dibawa ke solat yang kedua.
Syarat-syarat Jama' Takkhir:
1. Hendaklah berniat Jama' Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama (umpamanya berniat Jama' Takkhir untuk solat Zuhur bersama solat Asar, sebelum tamat waktu Zuhur). Jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada' pada waktu yang kedua.
2. Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada'.
Huraian pengertian musafir:
Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah (60 batu), maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Solat jama' dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.
Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit,
Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jama' dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara jama' dan qasar. Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jama' dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jama' dan qasar sehingga 18 hari.
Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jama'/qasar.
Orang yang musafir kurang dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat sebagaimana biasa. Jika perjalanannya melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal mengerjakan solat jamak dan qasar.
Kemudahan solat jama' (jama' sahaja) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang biasa lecah dan becak lalu tidak kemampuan untuk datang berjemaah, dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat, di antara kedua solat, dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.
Solat Jumaat ialah solat dua rakaat yang dilakukan pada hari Jumaat menggantikan solat Zuhur, dan dilakukan secara berjemaah selepas mendengar khutbah. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi [ke masjid] untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," - Al Jumu'ah: 9
Sabda Rasulullah SAW: "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud & Hakim
Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu.
Syarat wajib solat Jumaat:
1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang musafir.
Syarat sah solat Jumaat:
1. Didirikan didalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah di tetapkan seperti masjid, dewan,
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.
Rukun-rukun khutbah Jumaat:
1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan: "Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."
Syarat sah Khutbah Jumaat:
1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang kedua, antara segala rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum memulakan khutbah kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga akhir solat.
Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu bersolat Zuhur seperti biasa:
1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di zalimi.
Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:
1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung, misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan bersalawat atas Nabi.
Perlaksanaan solat-solat sunat amat digalakkan selain dari solat-solat fardhu.
nota: solat sunat, umpamanya solat sunat hajat, ada pelbagai cara. Oleh itu pembaca digalakkan merujuk kepada ahli agama tempatan tentang perbezaan cara dan yang mana lebih digemari pembaca.
Terdapat 16 jenis solat sunat:
1. Sunat Rawatib - solat sunat mengiringi solat fardhu. Solat sunat rawatib ada dua jenis: Sunat "Qabliyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan sebelum solat wajib, dan waktu-waktunya ialah: 2 rakaat sebelum solat Subuh, 2 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 atau 4 rakaat sebelum solat Asar, dan 2 rakaat sebelum solat Isya'; dan Sunat "Ba'diyyah" iaitu solat rawatib yang dikerjakan setelah solat fardhu, dan waktu-waktunya ialah: 2 atau 4 rakaat sesudah solat Zuhur, 2 rakaat sesudah solat Maghrib dan 2 rakaat sesudah solat Isya'.
2. Sunat Dhuha - solat ketika matahari baru naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat (enam salam).
3. Sunat Witir - solat selepas solat Isyak, kebiasaannya dirangkaikan dengan solat sunat tarawih. Bilangan rakaatnya ialah 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 rakaat.
4. Sunat Tahajjud - solat pada lewat tengah malam selepas bangun dari tidur.
5. Sunat Tasbih - solat yang mengandungi 300 tasbih, dan dianjurkan sekurang-kurangnya dikerjakan sekali seumur hidup. Solat tasbih ada empat rakaat, dengan satu salam jika dikerjakan pada siang hari, dan dengan dua salam jika dikerjakan pada malam hari. Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk sebelum qiam di rakaat pertama dan ketiga (atau 10 tasbih selepas tahiyyat awal di rakaat kedua, dan selepas tahiyyat akhir di rakaat terakhir sebelum salam.) Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.
6. Sunat Hajat - solat untuk memohon hajat atau ketika berada dalam kesulitan.
7. Sunat Tahiyyatul Masjid - solat ketika memasuki masjid.
8. Sunat Taubat - solat untuk memohon keampunan setelah menginsafi perbuatan mungkar.
9. Sunat Musafir - solat sebelum keluar untuk bermusafir.
10. Sunat Hari Raya - solat pada hari raya Aidilfitri dan AidilAdha, dan mengandungi takbir tujuh kali pada rakaat pertama, dan takbir lima kali pada rakat kedua.
11. Sunat Tarawih - solat selepas solat Isyak pada bulan Ramadan.
12. Sunat Istikharah - solat untuk meminta petunjuk yang baik, apabila kita menghadapi dua pilihan, atau ragu dalam mengambil keputusan. Sebaiknya dikerjakan pada 2/3 malam terakhir.
13. Sunat Mutlaq - solat sunat tanpa sebab dan tidak ditentukan waktunya, juga tidak dibatasi jumlah rakaatnya.
14. Sunat Wuduk - solat selepas mengerjakan wuduk.
15. Sunat Khusuf (Gerhana) - solat sunat sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.
16. Sunat Istisqa' (Minta Hujan) - solat sunat yang dikerjakan untuk memohon hujan. Tiga hari sebelum solat istisqa' segenap penduduk diwajarkan berpuasa dan meninggalkan segala kezaliman serta dianjurkan beramal soleh. Pada hari keempat semua penduduk termasuk yang lemah akan pergi ke tempat yang lapang dengan berpakaian sederhana dan tanpa wangi-wangian untuk solat istisqa'. Solat ini juga diiringi dengan dua khutbah selepas solat. Pada khutbah pertama hendaklah membaca istighfar 9 kali dan pada khutbah kedua 7 kali.
Solat khauf (atau solat ketakutan) ialah solat yang ditunaikan dalam keadaan suasana peperangan dengan pihak musuh. Solat khauf adalah kemudahan yang tidak terdapat dan tidak boleh dilaksanakan di dalam sembahyang–sembahyang yang lain.
Ulamak–ulamak fiqah juga telah bersepakat tentang adanya ketetapan syarak mengenai solat khauf ini, "bahkan yang dimaksudkan dengan khauf oleh mereka bukan semata –mata takut kepada serangan musuh malah termasuk juga khauf (takut)dari ancaman kebakaran dan juga binatang–binatang buas dan lain–lain lagi daripada ancaman yang boleh menyebabkan kemusnahan dan kehancuran."
Cara–cara menunaikan solat khauf dapat simpulkan kepada dua keadaan:
Sebelum tercetus peperangan (situasi berjaga-jaga)
Terdapat dua cara yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.w.t mengikut keadaan kedudukan arah musuh:
1) Musuh berada di arah qiblat
Syarat solat khauf dalam keadaan sebegini ialah:
a) Bilangan tentara Islam itu lebih banyak
b) Tidak dikhuatiri tentera musuh mampu membuat serangan hendap ketika sembahyang berlangsung
c) Bilangan tentera islam itu dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian (iaitu lebih daripada 6 orang)
Cara solat khauf dalam situasi sebegini adalah seperti berikut:
Imam perlu membahagikan batalion tentera kepada dua kumpulan, dan setiap kumpulan sekurang-kurangnya tiga orang. Seterusnya dua kumpulan akan membuat saf di belakang imam; setiap kumpulan boleh terdiri daripada beberapa saf, mengikut jumlah yang munasabah di mata imam. Imam akan bersembahyang bersama dengan kedua-dua kumpulan sehingga kepada rukuk di rakaat yang pertama, kemudian hanya kumpulan pertama sahaja yang akan turut rukuk bersama imam, manakala kumpulan yang kedua pula terus berdiri(dalam keadaan iktidal) untuk menjaga pertahanan, kalau-kalau ada gerakan baru atau serangan dari pihak musuh.
Setelah imam dan bahagian pertama bangkit untuk rakaat yang kedua, bahagian kedua pula akan turun menyempurnakan rakaat pertama secara bersendirian hinggalah mereka mendapatkan imam semula pada rakaat yang kedua. Pada rakaat ini, imam akan rukuk diikuti dengan kumpulan yang kedua sahaja akan turut bersama–sama dengan imam, manakala kumpulan yang pertama tadi akan tetap berdiri (iktidal) sehinggalah imam dan kumpulan yang kedua sampai ke tahiyyat akhir, barulah mereka akan menyempurnakan rakaat yang kedua secara bersendirian dan mendapatkan imam di tahiyyat akhir (yang mana imam hendaklah menunggu kumpulan pertama dengan memanjang doa)kemudian imam akan memberi salam bersama-sama dengan kedua-dua kumpulan tersebut.
2) Musuh tidak di arah qiblat
Cara solat khauf dalam situasi ini pula adalah seperti berikut:
Imam akan membahagikan tentera kepada dua kumpulan; kumpulan yang pertama akan bersembahyang bersamanya manakala kumpulan yang kedua akan kekal mengawasi keadaan. Imam pada permulaannya akan solat bersama kumpulan yang pertama untuk rakaat yang pertama sekiranya sembahyang dua rakaat atau sembahyang qasar, dan dua rakaat pertama sekiranya sembahyang genap (empat rakaat). Sesudah itu imam akan bangkit untuk rakaat seterusnya dan berdiri bagi menunggu kedatangan kumpulan yang kedua. Adapun kumpulan pertama akan niat berpisah dengan imam (niat mufaraqah) dan menamatkan sembahyang masing-masing secara bersendirian, kemudian bergerak manggantikan tempat kumpulan kedua yang tadinya mengawasi keadaan. Manakala kempulan yang kedua pula akan memulakan sembahyang bersama imam (yang mana imam sedang berada di rakaatnya) hinggalah sampai ke tahiyyat akhir (bagi imam), dan di sini imam akan memanjangkan doa dalam tahiyyat akhir bagi menunggu kumpulan kedua menyempurnakan baki rakaat mereka masing-masing sehinggalah mereka juga sampai di tahiyyat akhir dan imam akan memberi salam bersama-sama dengan mereka. Kumpulan pertama akan mendapat kelebihan (fadhilat) takbirratul-ihram bersama-sama dangan imam, manakala kumpulan kedua pula mendapat kelebihan memberi salam bersama-sama imam.
Ketika peperangan sedang meletus
Sekiranya peperangan tercetus dengan dahsyatnya, dan waktu sembahyang hampir ke penghujungnya sedangkan pihak musuh pula tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan serangan dan keadaan juga seolah-olah tidak memberikan peluang untuk bersembahyang khauf secara berjamaah dengan imam; maka di waktu ini kita disuruh untuk bersembahyang dengan isyarat hati sahaja tanpa melibatkan rukun-rukun fi'li (perbuatan). Dalam pada ketika ini kita dibenarkan untuk melakukan gerakan-gerakan yang berkaitan dengan peperangan seperti memancung, menikam, menembak, dan sebagainya dan dimaafkan untuk tidak mengadap qiblat.
Perkara-perkara yang membatalkan Solat Khauf:
1) Terbatal wudu' ketika dalam sembahyang
2) Menjerit dan melaung (sekiranya tidak diperlukan)
3) Gerakan-gerakan yang banyak yang tiada kaitan dengan peperangan
4) Darah yang banyak (kecuali terpaksa atau darurat, di sisi mazhab Syafie; darah yang banyak tidak menjejaskan sembahyang di sisi mazhab Maliki)
Nota:
1) pengunjung amat disyorkan merujuk kepada ustaz/ustazah tempatan sekiranya mempunyai kemusykilan dalam perihal bab solat ini. namun, sekiranya ingin bertanya penulis, hantarkan email kepada emzadii@hotmail.com (dan bukan di guestbook!)
2) terima kasih kepada semua pengunjung atas teguran huraian/ejaan. Juga terima kasih kepada semua yang menyuarakan sokongan dan perangsang dalam penulisan bab solat ini.
3) perhargaan kepada RZ atas teguran dalam solat sunat tasbih.
Kredit kepada:
http://www.geocities.com/capitolhill/6163/solat.html
Iraz Syamil Mohd Zahari
emzadii@hotmail.com
No comments:
Post a Comment
thank you for your comments